Kerjasama pelbagai bidang perkukuhkan perkongsian strategik dua hala





Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Hernie Suliana Haji Othman

 




SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Khamis, 14 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi menghadiri perjumpaan bersama Party Secretary of Shenzhen, Tuan Yang Terutama Jin Lei.


Semasa majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah melahirkan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Jin Lei atas pelantikan beliau sebagai Setiausaha Parti Shenzhen serta melahirkan rasa sukacita atas lawatan ke Shenzhen buat julung kalinya, di samping merakamkan penghargaan terhadap sambutan mesra dan layanan baik yang diberikan sepanjang lawatan tersebut.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota juga menekankan bahawa pencapaian Shenzhen dalam kemajuan teknologi dan inovasi merupakan sumber inspirasi kepada usaha pembangunan Negara Brunei Darussalam.


Sehubungan itu, Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda bahawa lawatan serta taklimat di Huawei dan Leju Robot akan memberikan pengetahuan yang berharga mengenai perkembangan dalam bidang Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI), di samping membuka peluang untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China.


DYTM seterusnya menekankan bahawa hubungan erat dan berpanjangan antara NBD dan Republik Rakyat China dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian, perikanan serta pertukaran antara rakyat dengan rakyat terus diperkukuhkan. Komitmen bersama kedua-dua negara dalam memperkukuhkan Perkongsian Kerjasama Strategik serta memajukan komuniti Brunei-Republik Rakyat China dengan masa depan yang dikongsi bersama turut ditegaskan semula.


Pada mengakhiri sabda, DYTM menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada Republik Rakyat China dalam persiapan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak APEC yang akan datang, di samping menjemput Tuan Yang Terutama Jin Lei untuk mengadakan lawatan ke NBD.


Selepas Majlis Perjumpaan, Tuan Yang Terutama Jin Lei telah menghoskan Majlis Santap Tengahari.


Majlis Perjumpaan dan Majlis Santap Tengahari tersebut berlangsung di Futian Shangri-La Hotel, Shenzhen.

​​

06 (2).jpg



Close